Thursday, July 19, 2007

QUO VADIS MALAYSIAN FOOTBALL

BOLA SEPAK MALAYSIA: KE MANA??

Pasukan bola sepak Malaysia menamatkan kempen Piala Asia 2007 dengan kekalahan 2-0 kepada gergasi bola sepak Asia, Iran. Tidak banyak yang menarik dalam perlawanan tersebut buat pasukan negara yang dilihat banyak bertahan dengan formasi 5-4-1. Saya yakin jutaan peminat dan pemerhati bola sepak Malaysia amat kecewa dengan prestasi Malaysia sepanjang kejohanan Piala Asia 2007 dengan hanya menjaringkan 1 gol dan dibolosi sebanyak 12 kali. Peletakan jawatan KDYTM Tengku Abdullah ibni Sultan Haji Ahmad Shah, Timbalan Presiden Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM) dan Y.Bhg. Dato’ Seri Dr. Ibrahim Saad, Setiausaha Agong FAM harus dilihat sebagai satu tindakan gentlemen yang diharapkan dapat membawa sinar baru kepada FAM khususnya dan bola sepak negara amnya. Sememangnya bola sepak Malaysia memerlukan perubahan radikal dan berani untuk menyelamatkan sukan nombor satu negara.

Sudah tiba masanya kita mempunyai pentadbir bola sepak sepenuh masa (full-time football administrator) yang boleh menumpukan jiwa dan keringat terhadap pengurusan bola sepak kebangsaan dan negeri, bukannya pemimpin-pemimpin politik yang dibebankan dengan karier politik mereka, urusan kawasan Parlimen/Dewan Undangan Negeri, mesyuarat Parlimen/Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan tugas-tugas pentadbiran yang lain. Adalah diakui para pemimpin politik sebenarnya lebih berperanan untuk mencari dana atau penajaan buat persatuan-persatuan bola sepak negara daripada mentadbir namun inilah satu aspek yang perlu kita lihat dan kaji. Kita dapat lihat di negara-negara seperti England, Jerman dan Sepanyol, kelab-kelab bola sepak ditadbir secara profesional sebagai sebuah syarikat antarabangsa dengan struktur organisasi yang tersusun, pelan pembangunan fizikal dan pengurusan pemain yang terancang serta pelan pemasaran yang berkesan. Dalam kebanyakan kes, bekas-bekas pemain dan penggiat bola sepak yang berpengalaman sendiri yang merupakan tunjang kepada kejayaan kelab-kelab elit di Eropah. Inilah sebenarnya ciri-ciri sebuah persatuan bola sepak yang sepatutnya dicontohi oleh FAM, bukannya sekadar membuat lawatan ke luar negara dan mengemukakan laporan/pelan pembangunan di atas kertas sahaja.

Seterusnya pembangunan bola sepak di akar umbi. Kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan dan Kementerian Pelajaran telah mula menunjukkan minat untuk membangunkan bola sepak di akar umbi. Pertandingan-pertandingan peringkat umur di peringkat sekolah, daerah, negeri dan kebangsaan sememangnya telah lama dilaksanakan. Namun mengapa kita masih ketandusan bakat-bakat muda? Saya berpendapat ramai di antara kita menyedari fenomena ni di mana bakat-bakat muda yang menjadi bintang di peringkat menengah, tiba-tiba hilang begitu sahaja. Sekolah-sekolah sukan/akademi-akademi bola sepak di negeri hanya menjaga para pemain di peringkat menengah sahaja namun apabila mereka tempat pengajian menengah, mereka sama ada akan melanjutkan pelajaran atau bekerja dan ini merupakan langkah yang terkebelakang. Pemain-pemain yang berpotensi ini seharusnya tidak dibiarkan begini. Persatuan-persatuan bola sepak negeri dan kelab-kelab seharusnya mengenal pasti mereka yang berpotensi untuk terus dipersiapkan sebagai pemain bola sepak profesional yang berpersonaliti. Lihat sahaja cara para pemain antarabangsa mengendalikan serta menjawab soalan media massa semasa sesi temu ramah dan sidang akhbar. Mereka berkeyakinan dan jawapan-jawapan yang diberi berisi sama ada dari segi teknikal dan taktikal. Bukannya jawapan dan alasan seperti tidak cukup persediaan, tidak bernasib baik, ‘bola itu bulat’ dan sebagainya.

Di negara-negara yang mempunyai struktur organisasi yang profesional, para pencari bakat (talent scouters) dilantik untuk menjelajah ke seluruh pelosok negara mencari bakat-bakat yang berpotensi. Bukannya melalui pemilihan terbuka yang kadangkala tidak mencerminkan bakat sebenar seseorang dan tidak terkejut sekiranya ada pihak yang cuba melobi sesetengah pemain untuk dipilih. Kita harus akur bahawa antara resipi kejayaan gergasi-gergasi bola sepak Asia adalah dengan mengeksport para pemain mereka ke liga-liga elit Eropah untuk didedahkan kepada bola sepak peringkat tinggi. Mungkinkah budaya atau sikap rakyat Malaysia sendiri yang suka berada di zon selesa (comfort zone) atau inward looking yang menyebabkan pemain-pemain kita bimbang atau takut untuk bermain di liga-liga di Eropah?

Seterusnya kemudahan infrastruktur dan pewujudan persekitaran yang kondusif untuk pembangunan bola sepak. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini kita dapat melihat kemunculan pusat-pusat sukan futsal dan promosi sukan futsal oleh pelbagai pihak di seluruh negara. Ini harus diteruskan terutamanya di peringkat akar umbi dan ini diakui sendiri oleh pemain-pemain seperti Zinedine Zidane dan Ronaldinho serta ramai pemain-pemain bertaraf dunia bahawa futsal merupakan elemen penting terhadap pembentukan kemahiran asas pemain sebelum mereka beralih kepada bola sepak padang. Media massa turut memainkan peranan untuk merangsang serta mewujudkan mood peminat dan para pemain. Pada peringkat awal ini ingin saya sarankan supaya FAM dan persatuan-persatuan bola sepak negeri memanfaatkan sepenuhnya teknologi maklumat dan komunikasi dalam mempromosi bola sepak tempatan. Maklumat-maklumat pasukan seperti profil pasukan/persatuan, berita terkini, jadual/keputusan perlawanan, keahlian, kelab penyokong, profil pemain/pengurusan dan pelbagai lagi boleh dimuatkan dalam laman web FAM/persatuan bola sepak negeri yang bertujuan mewujudkan suasana dan mood bola sepak di kalangan pemain/peminat. Ia perlu sentiasa dikemas kini dan ditambah baik dari semasa ke semasa. Nampak mudah tetapi membawa kesan positif kepada para pemain terutamanya apabila berita/profil mereka di paparkan. Kementerian/agensi Kerajaan dan pihak swasta yang melaksanakan projek-projek pembangunan terutama di bandar-bandar juga hendaklah mengekalkan padang-padang bola sepak yang penting dalam penganjuran liga-liga negeri dan pertandingan-pertandingan domestik/’haram’ yang lain.

Pemakanan dan sains sukan juga merupakan faktor penting dalam apa jua jenis sukan. Dalam hal ini Institut Sukan Negara seharusnya terus mengkaji cara pemakanan/diet, fizikal dan psikologi pemain-pemain bola sepak Asia terutama Jepun dan Korea yang berjaya bermain di Eropah walaupun fizikal luaran mereka seperti Park Ji Sung dan Shinsuke Nakamura nampak sama sahaja seperti pemain-pemain kita. Ini adalah kerana bola sepak moden kini memerlukan kombinasi aspek-aspek kepantasan, kekuatan fizikal dan skil. Ini tidak dimiliki oleh pemain-pemain Malaysia kini. Kalau adapun hanya satu atau dua elemen sahaja.

Mungkin saranan-saranan ini telah lama berada dalam kota fikiran penggiat/pemain /pemerhati bola sepak di negara ini tetapi apa yang penting kita perlu walk the walk. Sungguhnya masih ada sinar buat bola sepak di Malaysia. Menang dan kalah merupakan asam garam permainan namun jika kita kalah, biarlah kalah dengan bermaruah. Pasukan-pasukan bertaraf dunia lain juga pernah mengalami kekalahan teruk. Vietnam, Thailand, Singapura dan Indonesia semakin meninggalkan kita dalam membangunkan pasukan kebangsaan masing-masing. Kepada sesiapa yang melihat cara permainan pasukan-pasukan pasti berbangga dengan semangat juang, kesungguhan dan cara permainan Vietnam, Thailand dan Indonesia yang berani memegang bola, tidak gentar untuk menyerang walaupun lawan mereka lebih berpengalaman dan merupakan gergasi bola sepak Asia. Tidak malukan kita untuk 10 tahun yang akan datang terus bermodalkan kejayaan yang telah kita capai pada era 1970an dan 80an apabila bercakap tentang bola sepak Malaysia? Persoalannya sekarang ke mana kita selepas ini?

AFMR
Putrajaya

1 comment:

iDa said...

tunggu payjal represent Malaysia untuk bola sepak..hehe